Tuliskan satu esei
bertajuk “Bagaimanakah kemahiran berbahasa dapat dikembangkan secara berkesan
dalam pengajaran Bahasa Melayu sekolah rendah di Malaysia
Kesan
Pendekatan Pembelajaran Masteri Terhadap Pencapaian Kemahiran Membaca Murid
Pemulihan Sekolah Rendah Menggunakan Teknik Permainan Bahasa.
2.0
Pengenalan
Kemahiran berbahasa
meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran
berbahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku. Penguasaan kesemua
kemahiran ini amat penting dalam proses pengajaran dan pempelajaran supaya
berjalan dengan lancar dan berkesan. Kemahiran bahasa yang berhubung dengan
kemahiran lisan melibatkan dua komponen asas, iaitu mendengar dan bertutur.
Kedua-dua komponen ini berkait rapat dan saling melengkapi. Kemahiran membaca
dan menulis pula merupakan kemahiran bukan lisan.
Bagi konteks mengembangkan
kemahiran berbahasa secara berkesan dalam pembelajaran Bahasa Melayu sekolah
rendah di Malaysia, proses membaca merupakan asas literal dalam sesuatu
mukadimah pengertian kandungan bahan bacaan. Menurut Harris dan Sipay (1980),
membaca dimaksudkan sebagai proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas
lambing-lambang bercetak dan bertulis. Bagi Smith dan Johnson pula (1980),
membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea
penulis dengan tanggapan yang dibuat oleh pembaca.
Di samping itu, Goodman
(1973) pula menyatakan membaca adalah proses psikolinguistik yang bermula
daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca
sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan. Ini bermakna,
melalui proses membaca wujud hubungan antara bahasa dengan pemikiran kerana
perkara ini berlaku dalam konteks yang lebih luas. Bahasa digunakan bagi
melahirkan pemikiran yang wujud dalam minda.
Bagaimana pula dengan
proses membaca bagi murid pemulihan sekolah rendah? Dalam proses membaca,
pendekatan pembelajaran masteri wajar digunakan bagi meningkatkan pencapaian
murid pemulihan. Menurut Bloom (1971), pendekatan pembelajaran masteri
memainkan peranan dari segi mewujudkan penglibatan semua murid dalam proses
pembelajaran. Adakah proses ini berkesan?
Menurut
Mengantar Simanjuntak (dalam Nik Safiah Karim, 1980 : 72), satu-satu pengajaran
bahasa yang berjaya seharusnya berdasarkan teori-teori linguistik yang mampu
menerangkan hakikat bahasa dengan berkesan, asal-usul, cara bahasa
diaplikasikan dan bagaimana bahasa itu terhasil serta difahami. Dengan kata
lain, menurut beliau hanya guru yang memahami teori bahasa dapat menentukan
kaedah dan teknik yang sesuai digunakan untuk memastikan keberkesanan pengajaran.
O’Connor, White dan
Swanson (2000) yang membuktikan kanak-kanak boleh membaca dengan berkesan
sekiranya guru melatih murid membaca dengan cara yang betul dan sistematik.
Kajian ini juga berjaya membuktikan bahawa dengan menggunakan pendekatan masteri,
ia dapat meningkatkan pencapaian kemahiran membaca murid yang dikaji.
Pembelajaran Masteri
merupakan suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang memastikan semua
murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unti pembelajaran
sebelum berpindah ke unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan
peruntukan masa yang mencukupi dan proses pengajaran dan pembelajaran yang
berkualiti. Bagi murid pemulihan, mereka memerlukan masa untuk mempelajari
kemahiran membaca. Jadi, teknik permainan bahasa berkesan membantu murid
pemulihan belajar membaca. Mereka belajar membaca secara tidak langsung dalam
dalam proses bermain permainan bahasa.
Daya pemikiran yang lemah
menghadkan pemikiran murid pemulihan. Mereka tidak dapat mengikuti pengajaran
dan pembelajaran yang berkesan sekiranya guru tidak menggunakan kaedah yang
efektif untuk mengajar. Permainan bahasa merupakan teknik yang lebih berkesan
untuk membantu membaiki kecekapan membaca murid pemulihan. Dalam aspek
persediaan membaca, sesorang kanak-kanak diperkenalkan dengan latihan-latihan
persediaan. Abjad besar bergerak boleh diperkenalkan untuk bekerja bersama
mereka sebagai permulaan. Bagi mengetahui tahap pengetahuan murid pemulihan
sepanjang mereka berada di kelas biasa, guru harus menggunakan kaedah masteri
bagi menguji persediaan belajar mereka. Menyediakan ujian ringkas yang memenuhi
kriteria persediaan membaca memberi gambaran awal guru untuk membimbing
pelajar-pelajar
Murid pemulihan mempunyai
daya pemikiran yang lemah dan kurang sikap keyakinan diri. Maka, proses
permainan bahasa seperti menyusun perkataan-perkataan yang berselerak dan
digabungkan menjadi satu perkataan membantu murid pemulihan membaca. Mereka
akan membaca perkataan demi perkataan terlebih dahulu, kemudian menggabungkan
perkataan-perkataan menjadi satu ayat yang lengkap. Dalam proses membaca
perkataan tersebut, murid pemulihan telah dilatih secara tidak langsung
menghafal perkataan yang dijumpai dan seterusnya belajar membaca ayat lengkap
daripada gabungan perkataan.
Menurut Montessori hanya
orang dewasa dapat membezakan antara belajar dan bermain manakala kanak-kanak
tidak dapat membezakan di antara bermain dan belajar. Oleh itu, setakat ini
kita boleh mengaitkan bahawa bermain adalah pekerjaan seorang kanak-kanak dan
ia adalah satu daripada aktiviti penting meransang perkembangan
menyeluruh-fizikal, kebijaksanaan, sosial dan rohani serta emosi. Bagi
mentafsir perkembangan pembelajaran murid pemulihan terutama dari segi
kemahiran membaca, rubrik penilaian awal iaitu ujian pra membaca harus
diberikan kepada mereka. Pada peringkat awal, murid pemulihan yang tidak
mengenali abjad harus didedahkan dengan abjad-abjad yang digubahkan daripada
bahan maujud supaya murid pemulihan dapat menyentuh dan memanipulasikannya.
Seterusnya, guru harus perkenalkan permainan berbentuk mengecam susunan abjad
dari “A” sampai “Z”. Contohnya, murid didedahkan dengan permainan melompat dari
satu abjad ke abjad yang lain sambil menyebut abjad tersebut. Permainan melompat
sambil menyebut abjad ditempat dia melompat membentuk visualisasi simbol dalam
mental dan seterusnya mengukuhkan proses ingatan murid.
Peringkat kedua dalam
pembelajaran masteri terhadap kemahiran membaca murid pemulihan menggunakan
teknik permainan bahasa ialah peringkat suku kata. Pada peringkat ini guru
pemulihan akan mengajar murid-murid membatangkan suku kata. Untuk menyesuaikan
pembelajaran baru ini, guru harus melalui peringkat senang terlebih dahulu
iaitu membatangkan suku kata terbuka. Suku
kata terbuka “KV+KV” memperkenalkan murid kepada suku kata terbuka yang
digandingkan dengan suku kata terbuka lain dan membentuk perkataan. Contohnya,
“ci+li”, “bu+ku”, “ka+ki” dan banyak lagi. Kadang-kadang murid pemulihan tidak
dapat meneruskan pelajaran di peringkat ini kerana mereka tidak mengenali
kategori huruf vokal dan huruf konsonan. Maka, guru harus merujuk kembali
rubrik pembelajaran masteri dimana instrument pengukuran ujian lisan membaca
huruf vokal benar-benar difahami oleh murid-murid pemulihan. Setelah murid
dapat mengatasi peringkat suku kata terbuka, murid akan diperkenalkan dengan
membatang suku kata tertutup dimana huruf konsonan sebagai penutup setiap suku
kata yang digabungkan. Contohnya, “ma+in”, “ka+pak”, “be+lon” dan sebagainya. Permainan
bahasa yang paling sesuai untuk memperkenalkan suku kata ialah permainan “suku
kata spontan”. Pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan dimana kumpulan pertama
berperanan sebagai pembayang suku kata dan kumpulan kedua sebagai pelengkap
suku kata. Wakil dari kumpulan pertama tampil ke hadapan untuk “menjual” satu
suku kata. Wakil daripada kumpulan kedua pula akan melengkapkan suku kata yang dijual
oleh kumpulan pertama menjadi satu perkataan bermakna. Murid boleh bertukar
peranan supaya memberi pengalaman kepada mereka.
Setelah
semua murid pemulihan menguasai peringkat kedua membaca, guru boleh meneruskan
pengajaran ke peringkat sederhana susah iaitu peringkat perkataan. Dalam peringkat
suku kata murid diperkenalkan dengan perkataan yang dicerakinkan. Bagi menguji
kefahaman murid di peringkat perkataan pula, satu latihan pembalikan perkataan
dijalankan untuk guru menguji kefahaman murid mencerakinkan suku kata menjadi
perkataan bermakna. Ini bermaksud murid harus membuat satu set latihan yang
terdiri daripada perkataan yang terbalik dari segi susunan suku kata. Murid
siminta untuk membentulkan suku kata tersbut menjadi perkataan yang betul.
Seterusnya, murid diajar untuk membezakan bunyi fonem /e/ dan /a/ dalam
perkataan. Dalam keadaan ini murid harus membaca secara mekanis
perkataan-perkataan yang mempunyai fonem /e/ dan /a/ dimana perkataan sama
bunyi diperkenalkan. Contohnya, perkataan “elak”, “asak”, “enak”, “anak” dan
sebagainya. Sekiranya murid pemulihan menguasai fonem /a/ dan /e/, pembelajan
selanjutnya dibuat iaitu membatangkan suku kata-suku kata terbuka dalam
perkataan, membatangkan suku kata-suku kata tertutup dalam perkataan dan,
membatangkan dan mencantumkan suku kata-suku kata yang mengandungi gugusan
konsonan dalam perkataan. Guru harus memperkenalkan peringkat perkataan ini
secara langsung di dalam kelas supaya murid dapat mendikriminasi suku kata
terbuka, suku kata tertutup dan suku kata yang mempunyai gugusan konsonan dalam
perkataan.
Teknik permainan bahasa
yang sesuai dalam peringkat ini ialah melalui permainan “ting-ting minda”.
Permainan “ting-ting minda” berasaskan teori kecerdasan kinestetik, merupakan
daya pengerak kepada pengukuhan bacaan dan minat murid. Permainan “ting-ting”
ini mengikut model tahap pencapaian murid pemulihan. Murid akan membalingkan
buah dadu berlabel huruf konsonan dan boleh juga dalam bentuk suku kata. Murid
melangkah ke petak 1 dan mencabut kad huruf serta bembacanya. Kemudian, murid mencari
huruf konsonan yang terpapar pada dadu. Seterusnya, maju ke petak 2, memilih
huruf vokal dan menyebut suku kata yang terbina daripada hasil dadu dan cabutan
kad. Meneruskan ke petak 3 dan mengambil kad suku kata terbina. Murid akan
mengambil bintang di petak akhir sekiranya betul. Ulang aktiviti kepada murid
lain. Kemahiran membaca murid berkembang apabila mereka melalui pengalaman
membaca sambil bermain. Konsep menyeronokkan tanpa paksa mengubah persekitaran
murid pemulihan untuk menunjukkan kemajuan dengan tahap peningkatan kemahiran
membaca murid.
Rajah diatas merupakan Model Ting-ting
minda 1
Kemahiran membaca murid dikembangkan melalui permainan
bahasa dan menggunakan kaedah pembelajaran masteri. Menyebut perkataan dasar
dan perkataan berimbuhan merupakan tahap keduan tertinggi sebelum murid belajar
peringkat ayat. Dalam program Program Literasi dan Numerasi (LINUS), juga
dimasukkan membaca perkataan dasar dan perkataan berimbuhan. Sebelum mengenali
perkataan berimbuhan, murid lebih awal diajar menyebut perkataan dasar. Murid
pemulihan mempunyai kelemahan untuk mendiskriminasi perkataan dasar dan
perkataan berimbuhan. Maka, pengenalan sebutan yang betul kepada perkataan
dasar membawa makna dalam setiap perkataan yang dibaca. Hal ini dapat
ditegaskan dalam rumusan Frank Smith bagi Model atas-ke-bawah ( Top-down Model
) iaitu membaca adalah proses membawa makna dalam teks dan bukannya
mengeluarkan makna daripada teks bacaan. Bagi mengesan tahap diskriminasi murid
pemulihan terhadap perkataan dasar dan imbuhan, guru harus menyediakan ujian
mengecam perkataan dasar dan imbuhan. Murid harus membaca perkataan secara
mekanis supaya guru dapat menilai tahap kesediaan murid. Sekiranya murid tidak
melepasi ujian pengecaman perkataan dasar dan imbuhan, guru harus mengajar
semula peringkat mencantumkan suku kata yang mengadungi gugusan konsonan dan
perkataan. Selagi murid tidak menguasainya, pembelajaran seterusnya tidak dapat
dijalankan. Hal ini berpandukan carta model pengajaran masteri.
Peringkat tertinggi dalam
kemahiran membaca ialah membaca dan memahami ayat-ayat. Bagi murid pemulihan,
ayat-ayat yang sesuai haruslah pendek dan senag difahami. Permainan bahasa yang
sesuai dengan tahap penguasaan murid pemulihan seperti permainan menyambung
ayat dan seterusnya membacanya. Contohnya, permainan membaca ayat yang
dituliskan oleh kawan. Murid dibahagi kepada dua kumpulan, dimana satu kumpulan
akan menulis ayat di papan tulis dan kumpulan yang satu lagi akan membaca ayat
tersebut. Kumpulan akan bertukar peranan apabila sampai kepada 5 pusingan. Kemahiran
membacaan hendaklah dijalankan secara berterusan supaya
maklumat yang diperolehi dapat memberi gambaran sebenar kelemahan murid.
Masalah bacaan sebenar murid penting supaya guru dapat menilai semula rancangan
pemulihan bacaan dan boleh membantu guru menentukan objektif pengajaran bacaan
seterusnya. Kaedah dan teknik mengajar membaca perlu dipelbagaikan bagi
mengelak kebosanan.
Secara
keseluruhannya, murid harus diajar secara berperingkat-peringkat, iaitu murid
harus menguasai atau mahir pada satu peringkat sebelum berpindah ke peringkat
yang seterusnya. Murid yang masih lemah akan diberi aktiviti pemulihan sehingga
dapat menguasai aras masteri, manakala aktiviti pengayaan diberikan bagi murid
yang telah menguasai aras masteri. Di samping itu, guru juga lebih berkeyakinan
semasa mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran kerana pendekatan ini
menekankan persediaan mengajar yang teratur. Guru juga bijak membahagi masa
demi memastikan keberkesanan pendekataan masteri. Penggunaan pendekatan masteri
dengan teknik permainan bahasa dalam kemahiran membaca dalam aktiviti kelas
pemulihan menyebabkan murid lebih bermotivasi untuk belajar menguasai kemahiran
membaca. Huraian ini menyokong kajian yang dijalankan oleh Yahya (2001) yang
menyatakan terdapat hubungan positif antara minat murid dengan kaedah mengajar.
Maka dengan itu, penerangan huraian diatas mengenao kemahiran membaca dapat
dikembangkan secara berkesan dalam pembelajaran Bahasa Melayu murid pemulihan sekolah rendah di Malaysia
menggunakan pendekatan pembelajaran masteri dan teknik permainan bahasa. (1605 patah perkataan)
Dibuat oleh
Augustine Anak Singga
Dibuat oleh
Augustine Anak Singga
No comments:
Post a Comment